DSC_0741 (1)

Ucapan Tuan Pengetua

Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera


Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, saya diberi kesempatan dan kekuatan untuk menulis sepatah dua kata dalam kata alu-aluan Laman Web SMK Tunku Kurshiah.


Tahniah dan syabas diucapkan kerana berjaya menyempurnakan ke arah pengisian laman web SMK Tunku Kurshiah ini dengan jayanya. Tanpa kesungguhan dan komitmen yang tinggi sudah tentu laman web ini tidak dapat disiapkan seperti yang dirancang. Oleh itu, saya selaku Pengetua SMK Tunku Kurshiah ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Yang Maha Esa  dan ucapan terima kasih kepada ahli yang terlibat kerana telah mempamerkan kesungguhan dalam merealisasikan hasrat yang terkandung dalam visi dan misi SMK Tunku Kurshiah.


Bagi sebuah sekolah yang mempunyai cita-cita besar untuk menempa nama di persada dunia pendidikan negara, penggemblengan tenaga dan usaha daripada warga sekolah amat diharapkan supaya dapat menguasai ilmu untuk menghasilkan pendidikan berkualiti demi meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah terpuji serta keterampilan bakat melalui pengurusan sekolah yang cekap dan efisien.


Dalam mencapai matlamat ini maka usaha yang gigih dan pengorbanan yang tinggi merupakan faktor utama penentu kejayaan yang perlu dimiliki oleh setiap warga sekolah. Ianya menuntut iltizam yang tinggi bagi membentuk budaya kerja yang cemerlang dan jelas. Diharap segala tugasan dapat berfungsi serta dijana mengikut garis panduan yang dinyatakan di dalamnya. Saya amat berharap agar semua warga SMK Tunku Kurshiah dapat memastikan kerja yang dilakukan tidak tersasar dari landasan.


Akhir kalam, saya dengan rasa rendah hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa dan semua warga SMK Tunku Kurshiah yang telah berusaha gigih sehingga berjaya menyempurnakan pembangunan laman web SMK Tunku Kurshiah ini dengan jayanya.


Sama-samalah kita menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh keikhlasan dan mudah-mudahan usaha  ini diberkati Allah S.W.T dan menjadi amal kebaikan yang akan kita kecapi pada kemudian  hari. In Shaa Allah.


“Punca Kejayaan Kita Berasaskan Ilmu Dunia dan Akhirat”


Sekian, wassalam


Norhidah Bt Mat Nor
Pengetua
SMK Tunku Kurshiah,         Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Aktiviti Terkini

Pautan

Scroll to Top