pintu depan
makmal komputer
laman depan pejabat
blok
dataran
suasana

UCAPAN PENGETUA (CIK NORATI BT MOHD OTHMAN)

 

Terima kasih Pengerusi Majlis

Yang Dihormati En. Seri Lanang bin Shamsuri, Pengerusi PIBG SMKTK.

Yang Berusaha, Pn. Norlaili bt Ismail selaku Timbalan YDP, En. Rosli bin Ibrahim selaku Penolong Kanan Pentadbiran, Ustaz Mohd Shukor bin Zakariah selaku Penolong Kanan  Hal Ehwal Murid. Pn. Hajah Rusiah binti Saad, Penolong Kanan Kokurikulum. Cik Hajah Suriayati binti Ismail, Penolong Kanan Tingkatan Enam.

Guru-guru SMK Telok Kumbar

Ahli Jawatankuasa PIBG,

Tuan-tuan dan Puan-Puan, serta

Hadirin sekalian

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia

            Segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala, Selawat dan Salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan juga pengikut-pengikut Baginda.

            Syukur saya kehadrat Ilahi kerana atas limpah kurnianya segala perancangan dan usaha yang jitu serta tinggi maka Mesyuarat Agung Tahunan PIBG ke-25 dapat diterjemahkan hari ini. Tidak dilupakan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terutamanya kepada YDP PIBG, En. Seri Lanang kerana sudi mengorbankan masa, tenaga dan usaha untuk hadir pada majlis hari ini. Begitu juga kepada para guru yang berhempas pulas dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan majlis kali ini.

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

            SMKTK mendukung falsafah iaitu untuk mewujudkan iklim pengajaran dan pembelajaran yang selesa dan harmonis untuk memupuk dan memperkembangkan potensi setiap warga SMKTK ke arah kecermelangan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. SMKTK menggalas visi menjadi sekolah cemerlang menjelang 2015 dengan misinya membangunkan sahsiah pelajar kearah kecemerlangan melalui pendidikan berkualiti berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaaan. Hal ini selaras dengan pepatah ‘Datang Dengan harapan, Pulang dengan Kejayaan.

            Bagi merealisasikan hasrat ini banyak program telah dirancang sepanjang tahun 2014 dan 2015 yang meliputi semua aspek secara komprehensif iaitu:

·       Program Bersama Kelompok untuk meningkatkan akademik pelajar dengan konsep perkongsian ilmu

·       Profesionalisme Keguruan Sejajar Dengan Kemajuan Negara untuk  meningkatkan kemahiran guru-guru dengan mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan sekurang-kurangnya 7 kali setahun.

·       SMKTK juga mengadakan Program Head Count yang bertujuan melihat pencapaian pelajar secara berterusan.

·       Aktiviti Perjumpaan Waris/Program Bertemu Pelanggan juga turut diadakan 3 kali setahun iaitu selepas setiap kali peperiksaan agar ibu bapa bolah berbincang dengan guru-guru berkaitan pencapaian masing-masing.

·       Kelas Tambahan GPMS

·       Kelas Tambahan PDCA

·       Klinik matapelajaran untuk pelajar PT3, SPM

·       Teknik Menjawab Soalan PT3 dan SPM

·       Pecutan Terakhir PT3dan SPM

·       Sentuhan Terakhir PT3 dan SPM

·       Suntikan Motivasi bersama pentadbir

·       ‘Holiday Package’

·       Program Permata Hatiku

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

            Kita sedia maklum bahawa anak-anak ini merupakan penyejuk hati, pengarang jantung. Kelahiran seseorang anak menjanjikan harapan yang tinggi menggunung kepada kedua-dua ibu bapa. Kejayaan anak-anak merupakan hadiah yang paling bernilai untuk semua ibu bapa. Elok kemenjadian anak-anak adalah bermula dengan ibu bapa kerana menjernih air di muara hendaklah bermula di hulu. Demikianlah kejayaan anak-anak amat rapat kaitannya dengan sokongan daripada ibu bapa. Pihak sekolah berharap semua ibu bapa janganlah meletakkan 100% tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pihak sekolah sahaja.. Sokongan dan penglibatan semua ibu bapa amat diperlukan dalam memastikan kejayaan anak-anak ini. Sebagai permulaan untuk proses pengajaran dan pembelajaran, ibu bapa perlu memastikan anak-anak membawa peralatan sekolah seperti alat tulis serta buku teks yang diberikan percuma kepada semua murid. Selain itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak bangun awal untuk bersolat dan datang awal ke sekolah agar masalah pelajar lewat boleh diatasi. Ibu bapa perlu memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pelajaran anak-anak. Anak-anak perlu diberikan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya agar diri mereka tidak tersisih. Ramai ibu bapa yang tidak hadir apabila pihak sekolah mengadakan program-program dan majlis-majlis ilmu dengan memberi alasan kesibukan bekerja sedangkan ‘Hendak Seribu Daya, Tidak Hendak Seribu Dalih’. Keadaan ini amat menyedihkan pihak sekolah kerana ditakuti anak-anak kita akan tersasar jauh. Jadi, saya mewakili pihak sekolah menyeru supaya ibu bapa atau waris member kerjasama yang erat kepada pihak sekolah supaya kita sama-sama dapat berganding bahu dan sekaligus dapat menyuntik semangat belajar dalam sanubari anak-anak SMK Telok Kumbar.

            Anak-anak amat memerlukan inspirasi dan galakan untuk belajar. Minat berlajar perlu ditanam dan disemai serta dibajai dalam jiwa anak-anak kerana mereka ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan dan mewarnainya. Anak-anak memerlukan masa untuk bermesra dan berbincang dengan ibu bapa mereka. Ibu bapa perlu memastikan bahawa mereka mempunyai masa untuk tujuan tersebut. Hal ini tidak mustahil dilakukan walaupun ibu bapa sibuk bekerja. Ibu bapa boleh menelefon untuk bertanya khabar atau makan semeja pada waktu yang berkesempatan. Pokoknya, dimana ada kemahuan, disitu ada jalannya.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

            Disekolah, bidang kurikulum merupakan satu aspek yang amat penting dalam sesebuah sekolah. SMKTK juga tidak terkecuali dalam hal ini. Banyak kecemerlangan telah dicapai dalam setiap kali peperiksaan awam seperti PT3, SPM dan STPM.

Dalam peperiksaan PT3 2014, seramai dua orang pelajar telah memperoleh 7A iaitu

            ›  Nur Husnina bt Mohamad Pauzi

            ›  Muhammad Zulhafiz b. Zulkifli

Selainnya ialah,

            ● 2 orang mendapat 6A

            ● 3 orang mendapat 5A

            ● 7 orang mendapat 4A

           

            Manakala dalam SPM 2013 (kerana SPM 2014 belum di umumkan lagi), sekolah ini mendapat GPS 5.82. Pelajar terbaik SPM 2013 ialah Nurul Athirah bt Mohamed Ali yang berjaya memperoleh keputusan 2A+, 5A, 2B+.

            Dalam peperiksaan STPM 2013 pula, pelajar terbaik ialah Haziqah bt Abdul Aziz (GPI 3.42). Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Tuan - tuan dan puan – puan yang dihormati sekalian,

            Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP). Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata.

            Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah  pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah  pada sesi persekolahan tahun 2012.

            Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 telah digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah. PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study). 

            Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.

            Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.

            PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.

Hadirin yang dihormati sekalian,

            Selain bidang kurikulum, Portfolio Hal Ehwal Murid juga satu kompenan yang penting. Antara program yang dilaksanakan ialah:

1)     Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1

2)     Perjumpaan Waris Pelajar Tingkatan 1

3)     Orientasi Pelajar Tingkatan 1

4)     Kem Pelajar Mithali Tingkatan 1

5)     Sambutan Maulidur Rasul

6)     Kem Budi Bahasa Budaya Kita

7)     Solat Hajat dan Bacaan Yaasin

Selain itu banyak lagi yang diatur sepanjang tahun 2015 yang bertujuan untuk

menjana kemenjadian pelajar agar terus cemerlang dan gemilang bukan sekadar cemerlang akademik tetapi juga gemilang sahsiahnya.

            Disini saya ingin mengambil kesempatan untuk menunjukkan laporan atau analisis kes-kes salah laku pelajar yang melibatkan kes-kes seperti ponteng, merokok, pergaduhan, vandalisme dan gangguan semasa pengajaran dan pembelajaran. Kes yang dicatatkan bermula dari bulan Januari hingga Disember 2014. 

 

 

▪Kes yang tertinggi ialah kes ponteng iaitu sebanyak 48% diikuti kes PdP iaitu sebanyak 33%. Manakala kes merokok mencatat kedudukan ketiga tertinggi iaitu sebanyak 17%  diikuti kes  bergaduh sebanyak 2% dan kes vandalisme pula adalah 0%.

            Manakala pada tahun 2015 pula, bermula dari bulan Januari hingga 15 Febuari, data kes-kes adalah seperti berikut:-

 

Kes yang tertinggi ialah kes ponteng iaitu sebanyak 74% dan di ikuti kes merokok iaitu sebanyak 26%.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

 Bagi melengkapkan 3 kompenen utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kokurikulum tidak boleh dipinggirkan. Kokurikulum merupakan aktiviti- aktiviti yang disertai oleh para pelajar selepas waktu persekolahan. Kokurikulum merupakan elemen penting dalam pembentukan modal insan yang seimbang selaras dengan misi sekolah untuk membangunkan sahsiah pelajar ke arah kecermelangan. Menyedari hakikat ini, Kementerian Pendidikan Malaysia berasakan peri mustahaknya mewujudkan satu sistem penilaian aktiviti kokurikulum yang standard. Justeru Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil langkah melaksanakan penilaian 10% markah kokurikulum sebagai penilaian kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi dan Dasar 1 Murid 1 Sukan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon kepada semua ibu bapa agar dapat memastikan anak tuan-tuan dan puan-puan memakai pakaian seragam unit uniform yang lengkap kerana masih terdapat murid-murid yang memakai pakaian uniform seperti bersantai sahaja iaitu dengan memakai seluar track yang pelbagai warna. Pihak sekolah hanya membenarkan sekurang-kurangnya baju t-shirt unit uniform masing-masing dan seluar berwarna hitam sahaja dipakai pada setiap hari rabu. Selain itu bagi merealisasikan Dasar 1 Murid 1 Sukan, aktiviti sukan turut diadakan pada waktu petang bermula pada pukul 4 hingga 5.30 petang. Ia bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran asas tentang sesuatu permainan yang disertai. Oleh hal yang demikian , pihak sekolah sangat berharap ibu bapa dapat memastikan anak-anak datang pada waktu petang untuk latihan mengikut jadual yang telah disediakan pihak sekolah. Pihak sekolah sangat berharap pemantauan daripada semua pihak agar dasar kerajaan ini dapat direalisasikan.

 

Berikut merupakan antara program-program Unit Kokurikulum yang dirancang sepanjang tahun 2015 :-

› Kem Kepimpinan Tunas Muda

› Larian Merentas Desa

› Kem Perdana Unit Uniform

› Hari KAGUM

› Sukan Tara

› Pra Kejohanan Sukan Tahunan

› Raptai Kejohanan Sukan Tahunan

› Kejohanan Sukan Tahunan

› Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum

› Khidmat Masyarakat

› RIMUP

› Program 1M 1S

› Program Asean Komuniti

Manakala berikut pula merupakan rekod pencapaian kokurikulum tahun 2014:-

 

 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

           

            SMKTK melengkapkan semua bidang utama untuk menjadi sekolah cemerlang menjelang 2015 denagn infrastruktur fizikal yang lengkap dan memuaskan mengikut keupayaaan dan keperluan. Sekolah kita juga berusaha ke arah meningkatkan pengurusan pentadbirang  yang sistematik. Kita juga mengamalkan  Pengurusan Pentadbiran yang berhemah megikut prosedur yang telah ditetapkan. SMKTK juga tidak ketinggalan menjalinkan hubungan dengan komuniti setempat, swasta dan kerajaan untuk faedah bersama. Pembangunan staf juga tidak diabaikan . Yang terakhir ialah aspek keceriaan yang turut diberi perhatian yang serius agar suasana sekolah lebih kondusif. Melihat kepada kecemerlangan inilah, SMK Telok Kumbar menjadi lokasi kunjungan delegasi daripada Satree Ranong School untuk Lawatan Pendidikan dan Pertukaran Budaya antara Malaysia dan Thailand pada 23 Januari 2015 yang lalu. Ini menjelaskan SMK Telok Kumbar telah berjaya ke peringkat antarabangsa.

Hadirin yang dihor mati sekalian,        

            Dengan perkembangan semasa yang kita semua sedia maklum, Persatuan Ibu Bapa dan Guru menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalan mengorak langkah membantu pihak sekolah dalam semua aspek khasnya kemajuan dan kecemerlangan pendidikan anak-anak dari semasa ke semasa. Tanpa kesepakatan dan kerjasama yang jitu amat sukar bagi kita bagi mencapai kejayaan yang diharapkan.

            Malaysia berhasrat untuk mempunyai sistem pembelajaran yang dapat meningkatkan kejayaan murid. Hasrat ini lebih mudah dicapai apabila semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa serta ahli komuniti bersatu dan menyokong satu matlamat-membantu murid berjaya. Peranan ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak di rumah tidak dapat dinafikan. Kajian oleh  Olsen & Fuller (2008) menunjukkan apabila ibu bapa terlibat sama, sekolah mendapat manfaat berikut:

            ● Keyakinan guru meningkat

            ● Pencapaian murid meningkat

            ● Ibu bapa merasa mereka sebahagian dari sekolah dan lebih menyokong program  sekolah

            ● Kes disiplin dalam kalangan murid berkurangan

            ● Hubungan lebih baik antara pentadbir, guru dan ibu bapa

            Penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak mereka perlu ditingkatkan. Sekolah merupakan penggerak utama dalam usaha ini. Bagi membantu sekolah meningkatkan penglibatan ibu bapa dan komuniti (PIBK) dengan sekolah, Sarana Sekolah disediakan.  Kementerian Pendidikan baru-baru ini melancarkan inisiatif Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta secara meluas, di mana Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah merupakan alat bagi membolehkan pencapaian inisiatif ini.  Pelaksanaan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah dapat mengukuh dan meluaskan lagi penglibatan Ibu bapa Komuniti dan sektor swasta ke arah pencapaian aspirasi murid.

            Sarana Sekolah merangkumi enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, keputusan, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa menerusi PIBG. Inisiatif itu membabitkan kepentingan dan masa depan lebih 5.03juta murid di lebih 10,000 sekolah menegah dan rendah di seluruh negara dengan anggaran murid yang terbabit bagi tempoh 13 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang.  

            Sarana Ibu bapa adalah satu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan anak dalam pembelajaran di rumah dan sekolah. Sarana ibu bapa merangkumi empat elemen meliputi penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak. Ini bermaksud ibu bapa juga perlu mengambil tahu soal pembelajaran, kebolehan, disiplin serta kemajuan anak masing-masing dengan komunikasi rapat dengan guru dan pentadbiran sekolah. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Operasi Pendidikan, Datuk Sufa’at Tumin mengatakan sejajar dengan peningkatan akademik ibu bapa, tanggungjawab mendidik anak bukan lagi tanggungjawab guru sepenuhnya tetapi turut membabitkan ibu bapa dan komuniti setempat termasuk syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

            Penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak khususnya ketika di rumah sangat penting dan kajian membuktikan ia membawa perubahan yang ketara dalam kejayaan seseorang anak. Kajian peringkat antarabangsa Program Pentaksiran Murid Antarabangsa 2009 yang dilakukan oleh Pertubuhan untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan menunjukkan bahawa cara bagaimana penglibatan ibu bapa menggunakan masa bersama anak di rumah mempengaruhi kejayaannya. Hal ini disokong oleh statistik bahawa 52 peratus masa murid dihabiskan di rumah dan di dalam komuniti berbanding hanya 15 peratus masanya berada di sekolah. Data ini diperoleh daripada sampel jadual waktu murid 2011 Kementerian Pelajaran Malaysia untuk kegunaan masa murid berumur tujuh hingga 16 tahun berdasarkan 42 minggu di sekolah dengan purata 5.5 jam di sekolah setiap hari, dua jam masa kokurikulum wajib seminggu dan masa tidur lapan jam sehari.

            Justeru, salah satu inisiatif dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) adalah penglibatan ibu bapa, komuniti (PIBK) serta sektor swasta dalam pendidikan. Melalui penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak. Anak akan mencapai keputusan akademik yang lebih cemerlang serta mempunyai nilai kendiri dan motivasi yang lebih tinggi di samping rekod kehadiran ke sekolah yang lebih baik. Ibu bapa pula mendapat manfaat dari segi mengakses sumber berkaitan keibubapaan dan memperoleh pengetahuan mengenai sistem serta prosedur sekolah untuk mendapatkan program bantu sekiranya diperlukan.

            Apa yang lebih penting adalah mewujudkan suasana pembelajaran di rumah seperti menyediakan ruang atau sudut untuk anak belajar dan memastikan anak mempunyai serta mematuhi jadual ulang kaji. Sediakan juga buku rujukan walaupun yang terpakai kerana ia akan membantu anak-anak membuat penyelidikan bagi memahami sesuatu perkara.

            Jika boleh, ibu bapa perlu menemani anak semasa dia sedang belajar kerana kehadiran anda mengukuhkan perasaan dan mengekalkan tumpuannya. Pastikan bunyi televisyen atau radio direndahkan untuk mengurangkan gangguan.

            Adalah lebih jika perkara ini dipupuk sejak anak kecil lagi iaitu dengan membacakan buku kepadanya kerana ia merupakan satu aktiviti yang dapat merangsang minat terhadap membaca, menyemai kecintaan terhadap buku dan ilmu. Pada masa yang sama, ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak dan perbualan merupakan interaksi yang asas untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau isu secara sepakat. Berbincang dengan anak mengenai pelajaran dapat mengetahui perkembangan pencapaiannya, mengatasi keraguannya, membimbingnya merangka tindakan dan mententeramkan kerisauannya. Melalui perbincangan juga akan menghasilkan suatu pandangan bersama tentang sasaran anak dalam pelajaran di samping membantunya mencapai cita-cita.

            Maka, bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak, mulai 2013, Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB)  diwujudkan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Objektif KSIB antaranya adalah untuk mewujudkan rangkaian dan jalinan antara ibu bapa untuk saling belajar dan berkongsi amalan terbaik bagi membantu pembelajaran anak, membantu apabila berlaku krisis, mengukuhkan tingkah laku positif dalam menghadapi masalah dan menyediakan latihan untuk ibu bapa bagi meningkatkan kemahiran.

           

            Sehubungan itu, pihak sekolah amat mengalu-alukan ibu bapa menyertai KSIB (Kumpulan Sokongan Ibu Bapa) untuk membantu dan menyumbangkan kepakaran masing-masing ke arah kecemerlangan murid-murid. Untuk makluman hadirin sekalian, pihak sekolah berhasrat untuk membuat langsir yang seragam untuk setiap kelas-kelas dan juga ‘skirting’ untuk Bilik Gerakan SMKTK. Maka, saya berharap ibu bapa dapat menyumbangkan bantuan sama ada dari segi kewangan, kepakaran atau bimbingan agar hasrat ini dapat direalisasikan.

           

            Saya bagi pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama yang baik dalam melaksanakan pelbagai program sekolah. Kita semua mengharapkan peningkatan dalam kurikulum, kokurikulum dan sahsiah pelajar. Hanya dengan kejasama ssemua pihak secara berterusan maka anak-anak didik sekolah ini dapat terbina sebagai insan yang cemerlang dari segi sahsiah dan akademik serta kokurikulum. Setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan kepada barisan PIBG yang diterajui oleh Encik Seri Lanang bin Dato Shamsuri yang banyak memberi sokongan baik dalam bentuk kewangan mahupun idea serta moral. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Seri Lanang kerana masih lagi sudi menjadi YDP PIBG pada tahun ini walaupun anak beliau sudah pun bertukar ke Kolej Vokasional di Langkawi. Tidak keterlaluan jika saya katakan barisan PIBG sekolah ini amat dedikasi dan komited dalam membantu sekolah mencapai hala tuju dan kecemerlangan. Saya percaya dengan komited yang tinggi, semangat permuafakatan yang kuat dan sokongan daripada semua pihak, komuniti bijak pintar sekolah ini, saya sampaikan dalam serangkap pantun.

            Kalau roboh kota bertingkat,

            Sekerat rotan dicantum diikat,

            Kalau hendak prestasi meningkat,

            Seia sekata kita muafakat.

Ucapan ribuan terima kasih kepada AJK Kerja yang menjayakan majlis pada hari ini.

            Akhir kata, semoga Allah memberkati kerjasama dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi membina insan yang berilmu dan cemerlang seterusnya menjadi rakyat yang berjaya kepada agama, bangsa, dan Negara Malaysia.

Dengan lafaz Bismillahirromanirrahim, saya merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMK Telok Kumbar kali ke-25.

Sekian, terima kasih

Wassalam. 

 

   

Pautan  

   

Waktu Sekarang  

Wednesday, 24 January 2018
   

Kalendar  

January 2018
Mo Tu We Th Fr Sa Su
1 2 3 4 5 6 7
8 9 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31 1 2 3 4
   

Bilangan Pelawat  

182759
TodayToday20
YesterdayYesterday117
This WeekThis Week223
This MonthThis Month1963
TotalTotal182759
   

Kata-kata Hikmah  

"Berusahalah di dunia seakan-akan engkau akan hidup selama-lamanya. Berusahalah untuk akhirat seakan-akan engkau akan mati esoknya"
   

Tarikh Penting  

PT3 11/10/2016

Countdown
expired


Since

   

SPM 7/11/2016

Countdown
expired


Since

   

Info Solat